Make your own free website on Tripod.com
.
::Tazkeerah...
Tahajud penawar hilangkan penyakit, hapus dosa

“DAN pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji.” – (Surah al-Isra, ayat 79).

Inilah kelebihan dan ganjaran kepada umat Islam yang mengerjakan sembahyang tahajud. 

Firman Allah lagi dalam surah as Sajdah, ayat ke-16 dan 17 bermaksud: “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, bahkan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

“Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) apa yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.”

Banyak hadis turut menerangkan kelebihan sembahyang malam. Antaranya, hadis diriwayatkan Abu Hurairah, sabda Rasulullah bermaksud: “Solat yang paling afdal selepas solat fardu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling afdal, selain puasa Ramadan ialah puasa bulan Muharam.”

Bilal pula meriwayatkan Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang pada waktu malam kerana yang demikian adalah amalan orang salih sebelum kamu.

“Ia dapat mendekatkan diri kepada Allah, mencegah perbuatan maksiat, menghapuskan dosa dan menghilangkan penyakit dari badan.”

Sabda Rasulullah lagi bermaksud: “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang.

“Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya.”
 

::Balik::
 
Hakcipta © demimasa.cjb.net  2000-2004